Seorang gadis Palestin terbunuh dan dua orang cedera dalam serangan baharu Israel di Jalur Gaza pada Selasa, dalam pelanggaran baharu perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Sumber itu dilapor berkata, seorang gadis berusia 11 tahun hilang nyawanya akibat tembakan tentera di kawasan al-Zarqa di kejiranan al-Tuffah di timur bandar Gaza, kawasan di mana pasukan Israel berundur di bawah gencatan senjata.
Anadolu melaporkan, menurut saksi, kenderaan tentera Israel yang diletakkan di timur kawasan kejiranan itu melepaskan tembakan ke arah kawasan itu, membunuh gadis itu selepas dia terkena tembakan penembak tepat.
Seorang wanita dan seorang kanak-kanak juga cedera akibat tembakan Israel yang menyasarkan orang awam kehilangan tempat tinggal di kem Halawa di pekan Jabalia di utara Gaza, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.
Rakyat Palestin telah menuduh Israel berulang kali melanggar perjanjian gencatan senjata yang menghentikan perang Israel selama dua tahun yang telah membunuh lebih 71,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 171,000 orang lain sejak Oktober 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lapor Anadolu, sekurang-kurangnya 414 orang telah terbunuh dan lebih 1,100 orang lain cedera sejak gencatan senjata itu.



































