Dua remaja Palestin ditembak dan mati oleh tentera Israel dipekan al-Judeira, barat laut Baitulmaqdis di Tebing Barat yang diduduki, kata Kementerian Kesihatan Palestin pada Jumaat, berita Anadolu melaporkan.
Kementerian itu mengenal pasti mangsa sebagai Mohammad Abdullah Taim dan Mohammad Rashad Fadl Qassem, kedua-duanya berusia 16 tahun, mengatakan bahawa tentera Israel “menembak bertubi-tubi peluru hidup ke arah mereka di kawasan kejiranan atas al-Judeira sebelum merampas mayat mereka,” Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin WAFA.
Menurut Anadolu, tentera Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa “pada Khamis, semasa serangan hendap yang dijalankan oleh Unit 636 di kawasan al-Judeira, dua individu diperhatikan menyalakan dan melontar koktel Molotov ke arah jalan utama”.
“Pasukan Israel meneutralkan kedua-dua individu itu, dan tiada kecederaan dalam kalangan tentera kami,” menurut kenyataan itu, dilaporkan Anadolu.
Menurut Anadolu, penyiar awam Israel, KAN melaporkan bahawa tentera “membunuh kedua-duanya”.
Kegabenoran Baitulmaqdis dalam satu kenyataan berasingan dilapor berkata bahawa pasukan Israel “menyasarkan kedua-duanya dengan rentetan tembakan langsung yang kuat di kawasan kejiranan atas dekat tembok pemisah dan pengembangan, dekat dengan rumah kediaman.”



































