Lima orang maut awal pagi Rabu, termasuk seorang mangsa dan empat suspek bersenjata, dalam dua kejadian berkaitan tembakan di negeri Parana, selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Mayat seorang lelaki yang telah ditembak mati ditemui di kawasan kejiranan Cornelio Procopio, sebuah bandar kira-kira 380 km dari ibu negeri Curitiba dan kira-kira 520 km dari sempadan Brazil dengan Argentina dan Paraguay.
Polis Tentera kemudiannya menemui empat suspek bersenjata dipercayai ada kaitan dengan kes itu dan terlibat dalam pengejaran yang berakhir dengan kejadian tembak-menembak, membunuh keempat-empat suspek.
Polis dilapor berkata, suspek melepaskan tembakan ketika cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan, yang kemudiannya terbalik semasa pengejaran.
Mayat empat lelaki terbabit ditemui di dalam kereta bersama dua senjata api, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.



































