Banjir dicetuskan oleh hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut atau hilang di wilayah utara Vietnam, Dien Bien, lapor Reuters, memetik media kerajaan pada Jumaat.
Menurutnya, akhbar Tien Phong melaporkan, air banjir naik dengan cepat pada malam Khamis selepas hujan lebat berjam-jam, menenggelamkan rumah di kawasan rendah dan menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di bahagian pergunungan wilayah itu.
Perkampungan pergunungan Xa Dung mengalami korban paling teruk, dengan satu kematian dan enam hilang, kata laporan itu, menurut Reuters.
Trafik dan talian elektrik ke beberapa bahagian wilayah itu telah terputus akibat banjir, menurut kenyataan Jawatankuasa Rakyat wilayah, lapor agensi berita itu.
Dua kanak-kanak di kampung Hang Pu Xi telah tertimbus dalam tanah runtuh dan penyelamat masih belum menemui mayat mereka, menurut kenyataan itu, kata Reuters.
Laporan media menurut Reuters, hujan lebat yang berterusan di wilayah itu menghalang usaha mencari mangsa yang hilang.