Jumlah kematian akibat hujan lebat dan banjir di wilayah tengah Vietnam meningkat kepada 28 orang, dengan enam orang hilang dan 43 orang lagi cedera, Xinhua memetik laporan akhbar tempatan VnExpress pada malam Jumaat.
Lebih 22,100 rumah dilaporkan masih ditenggelami air, terutama di bandar Hue dan Da Nang.
Banjir dan tanah runtuh telah memusnahkan atau menghanyutkan 91 buah rumah dan merosakkan 181 buah rumah lain, menurut laporan itu.
Kira-kira 245,000 isi rumah dilaporkan masih terputus bekalan elektrik di rantau itu, kebanyakannya di Da Nang dengan lebih 225,000 terjejas.
Sebanyak 80 tapak di lebuh raya kebangsaan tersumbat atau terganggu akibat tanah runtuh.
Banjir diramalkan akan berterusan selama satu hingga dua hari lagi di rantau itu, kata laporan itu.



































