Seorang kanak-kanak dibunuh oleh tentera pendudukan Israel di pekan Ya’bad, barat Jenin, awal pagi Khamis, lapor agensi berita Palestin WAFA.
Kementerian Kesihatan dilapor berkata, Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Awam memaklumkan kepada mereka kematian Murad Fawzi Abu Seifen yang berusia 15 tahun, ditembak oleh tentera Israel, sambil menambah bahawa mayatnya sedang ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Sumber tempatan dilapor berkata, tentera Israel menyerbu pekan Ya’bad malam tadi dan melepaskan tembakan ke arah Abu Seifen di salah satu jalan di pekan itu, kena empat peluru.
Mereka dikatakan menghalang kru ambulans daripada sampai ke arahnya dan membiarkannya berdarah hingga mati sebelum merampas mayatnya.
Menurut WAFA, tentera Israel mengerahkan penembak tepat ke atas sebuah bangunan di pekan itu dan menyerbu jalan-jalannya.
Dengan pembunuhan Abu Seifen, bilangan rakyat Palestin yang terbunuh di kegabenoran Jenin sejak bermulanya serangan Israel ke atas bandar Jenin dan kem pelarian pada 21 Januari meningkat kepada 56 orang, dengan lebih 200 orang cedera, menurut laporan WAFA.
Dalam tempoh itu, pasukan pendudukan dikatakan telah merobohkan sepenuhnya lebih daripada 600 rumah, mewakili 33% daripada kem berkenaan, manakala 22,000 penduduk telah dipindahkan ke pekan-pekan dan kampung-kampung di sekitar Jenin dan sesetengah kejiranan di dalam bandar itu sendiri.
Pasukan pendudukan dilaporkan memperhebatkan pencerobohan harian mereka ke pekan dan kampung di sekitar Jenin, menjalankan serbuan dan penggeledahan rumah, menahan penduduk, dan menyoal siasat mereka di lapangan.



































