Jumlah kematian akibat nahas pesawat kargo dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville pada Selasa lalu meningkat kepada 14 orang, lapor Xinhua memetik media tempatan memetik sumber rasmi pada Jumaat.
Pesawat kargo UPS itu sedang berlepas apabila enjin kiri pesawat itu tertanggal selepas “kepulan api besar” meletus dari sayap kiri, menurut Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), memetik rakaman pengawasan lapangan terbang.
Seorang kanak-kanak adalah antara mangsa. Sehingga Khamis, sembilan orang yang hilang dipercayai berada dekat tapak nahas, lapor Xinhua.
Pasukan penyiasatan NTSB telah menemui “kotak hitam” pesawat, iaitu perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan, di tapak nahas pada Rabu dan menemui “komponen utama enjin” pada Khamis.
Pesawat itu tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan pada hari nahas, tetapi ia telah berada di San Antonio selama enam minggu sebelumnya. NTSB berkata ia akan “melihat setiap penyelenggaraan yang dilakukan” sepanjang tempoh itu.
Tidak jelas bila NTSB akan mendedahkan laporan awal mengenai nahas itu.
Pesawat kargo yang dalam perjalanan ke Honolulu itu terhempas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Louisville, hab udara seluruh dunia untuk UPS, sekitar jam 5:15 petang waktu tempatan (2215 GMT) pada Selasa.



































