Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Thailand bahawa periuk api baharu telah diletakkan di kawasan sempadan, kata kenyataan kementerian luar Kemboja yang dikeluarkan pada tengah malam Isnin, Xinhua melaporkan.
“Kerajaan Diraja Kemboja menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Thailand bahawa periuk api baharu telah diletakkan oleh Kemboja di sempadan dengan Thailand,” kenyataan itu dilapor sebagai berkata.
Menurut Xinhua, kenyataan itu menambah bahawa adalah penting untuk diperhatikan bahawa kebanyakan lapangan periuk api, daripada hampir tiga dekad perang saudara Kemboja, di sepanjang sempadan Kemboja-Thailand masih belum dibersihkan kerana rupa bumi yang sukar dan status kawasan sempadan yang tidak bertanda.
Kerajaan Kemboja amat bimbang mengenai keputusan Thailand untuk menghentikan deklarasi keamanan bersama, kenyataan itu dilapor berkata, sambil menambah “Kemboja kekal komited untuk melaksanakan Deklarasi Bersama”.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dilaporkan mengarahkan penghentian deklarasi keamanan bersama pada Isnin, susulan letupan periuk api dekat kuil Preah Vihear di kawasan sempadan, mencederakan dua askar Thailand.
Keputusan itu dibuat beberapa minggu selepas kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu menandatangani deklarasi keamanan bersama di Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 Oktober.



































