Peronda Malaysia melakukan pencarian di perairan pantai di Laut Andaman pada Isnin untuk mencari berpuluh-puluh anggota minoriti Rohingya Myanmar, selepas sebuah bot yang dipercayai membawa mereka karam dan sebuah lagi hilang, menurut laporan Reuters.
Sekurang-kurangnya 21 mayat telah ditemui sejak bot itu karam pada Khamis – 12 di Malaysia dan sembilan di negara jiran Thailand – ketua wilayah agensi maritim Malaysia, Romli Mustafa, dilapor memberitahu pemberita.
Tanpa jaket keselamatan, mungkin sukar bagi ramai untuk terus hidup walaupun 24 jam, tetapi ada yang mungkin berpegang pada objek terapung dan operasi mencari akan diteruskan, dia dilapor berkata.
“Keadaan cuaca tidak begitu mesra tetapi walau apa pun, kami cuba sedaya upaya,” Romli dilapor berkata.
Setakat ini, 13 mangsa yang terselamat telah diselamatkan, tambahnya.
Beratus-ratus orang Rohingya menaiki sebuah kapal yang menuju ke Malaysia dua minggu lalu, dan dipindahkan ke dua buah bot pada Khamis, menurut Khairul Azhar Nuruddin, ketua polis di pulau Langkawi utara Malaysia, pusat operasi mencari, Reuters melaporkan.
Bot yang lebih kecil yang membawa kira-kira 70 orang itu dikatakan karam dekat Langkawi pada hari yang sama dan nasib bot lain yang membawa 230 penumpang masih tidak jelas.



































