Angka maut akibat bot karam membabitkan minoriti Muslim Rohingya Myanmar meningkat kepada 27 orang pada Selasa, menurut laporan Reuters memetik seorang mangsa terselamat yang mengimbas kembali perjalanan menakutkan yang menyebabkannya terapung berhari-hari di Laut Andaman.
“Saya melihat seorang mati. Mereka lemas,” Iman Sharif dilapor berkata kepada pemberita sejurus selepas dia diselamatkan pada Selasa dan ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Menurut Reuters, Iman berkata dia berada di atas bot besar selama lapan hari sebelum dipindahkan ke bot yang lebih kecil dengan kira-kira 70 orang. Tetapi bot itu karam sejurus selepas itu dan dia berpaut pada bangkai bot selama berhari-hari sebelum terdampar di sebuah pulau Malaysia.
Pihak berkuasa Malaysia dan Thailand dilaporkan meluaskan pencarian berpuluh-puluh orang yang masih hilang di perairan dekat sempadan antara kedua-dua negara.
Sembilan mayat telah ditemui pada Selasa, termasuk seorang di Thailand, Reuters memetik pegawai.
Tiga belas mangsa yang terselamat telah ditemui di perairan Malaysia sejak Sabtu dan 12 mayat, Romli Mustafa, pengarah serantau di agensi maritim Malaysia, dilapor berkata pada Isnin.
Romli sebelum ini dilapor berkata rakan sejawatnya di Thailand telah menemui sembilan mayat, namun seorang pegawai Thailand di wilayah Satun kemudian memberitahu Reuters bahawa enam telah ditemui.



































