Bulan Sabit Merah Turki (Kizilay) pada Rabu menghantar “Kapal Kebaikan” ke-18 yang sarat dengan sekitar 800 tan bantuan kemanusiaan, termasuk barang bantuan musim sejuk dan bekalan makanan, ke Gaza, ketika usaha bantuan dipercepatkan susulan gencatan senjata diisytiharkan baru-baru ini, lapor Anadolu.
Kapal itu, yang berlepas dari pelabuhan Mediterranean Mersin, membawa terutama bekalan makanan dan bahan bantuan musim sejuk, termasuk 7,500 selimut dan 50,000 pakej makanan keluarga yang direka untuk memenuhi keperluan bulanan isi rumah.
Berucap pada majlis perpisahan itu, Presiden Bulan Sabit Merah Turki Fatma Meric Yilmaz dilapor berkata, Gaza kekal sebagai “luka pada hati nurani kemanusiaan” sambil menambah bahawa organisasi itu akan terus menghantar bantuan “selagi pintu gerbang masih terbuka”.
“Ada kalanya tiada bantuan yang boleh memasuki Gaza, hospital dibom, dan keluarga mengebumikan orang tersayang mereka dengan tangan mereka sendiri,” dia dilapor berkata.
“Kini setelah gencatan senjata dilaksanakan, kami berharap ia menjadi kekal supaya kami dapat menjangkau lebih ramai orang yang memerlukan.”
Yilmaz menyatakan, meskipun terdapat sekatan, Bulan Sabit Merah Turki telah mengekalkan operasi harian di Gaza, menyediakan makanan panas kepada kira-kira 35,000 orang dan menyokong hospital dan perkhidmatan kesihatan Bulan Sabit Merah Palestin.
Dia menekankan bahawa penghantaran baharu ini memberi tumpuan kepada membantu orang awam yang menghadapi keadaan musim sejuk yang teruk dan kekurangan makanan, terutama anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya.
“Kapal Kebaikan kami membawa belas kasihan, solidariti dan harapan rakyat Turki ke Gaza,” kata Yilmaz.
“Kami akan teruskan sehingga Gaza bangkit semula.”
Kapal itu dijangka tiba di Pelabuhan El-Arish Mesir dalam tempoh tiga hari, di mana kargonya akan dipindahkan ke trak untuk dihantar ke Gaza melalui lintasan sempadan.



































