Sebuah bas penumpang terjatuh ke dalam gaung yang dalam awal Rabu selepas berlanggar dengan kenderaan lain di selatan Peru, mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan 13 lagi, lapor AP memetik pihak berkuasa.
Pengurus kesihatan wilayah Arequipa, Walther Oporto, dilapor berkata kepada radio tempatan RPP bahawa bas itu melanggar sebuah trak pikap dan ia terkeluar dari jalan di selekoh, jatuh lebih 200 meter (lebih 650 kaki) ke tebing sungai Ocoña.
Bas itu dilaporkan berlepas dari bandar Chala, sebuah kawasan perlombongan yang juga di selatan Peru, dan menuju ke bandar Arequipa.
Kemalangan bas yang membawa maut dikatakan bukan suatu yang luar biasa di Peru. Punca kemalangan pada Rabu tidak jelas, tetapi pihak berkuasa dilaporkan mengatakan pada masa lalu bahawa pemanduan melulu dan kelajuan berlebihan adalah punca kebanyakan kejadian ini.
Pada Ogos, sebuah bas dilaporkan terbalik di lebuh raya dan 10 orang maut. Pada Julai, sebuah lagi bas yang dalam perjalanan dari Lima ke wilayah Amazon, Peru turut terbalik, menyebabkan sekurang-kurangnya 18 orang maut dan 48 orang cedera.
Pada Januari, sekurang-kurangnya enam orang maut dan 32 orang cedera apabila sebuah bas terjatuh ke dalam sungai.
Pada tahun 2024, terdapat kira-kira 3,173 kematian akibat kemalangan jalan raya di negara Amerika Selatan itu, menurut data rasmi daripada Sistem Maklumat Kematian, lapor AP.



































