Tentera Israel membunuh dua rakyat Palestin di Jalur Gaza pada Jumaat, dalam pelanggaran baru perjanjian gencatan senjata yang dilaksanakan sejak bulan lalu, lapor Anadolu.
Kenyataan tentera Israel dilapor berkata, tenteranya menembak mati seorang lelaki Palestin di selatan Gaza kerana didakwa melintasi “garisan kuning” zon penampan yang memisahkan kawasan di bawah kawalan Israel dari kawasan yang ia berundur di bawah gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt. lalu.
Seorang wanita Palestin turut terbunuh di bandar utara Beit Lahia di kawasan di bawah kawalan tentera Israel, kata jurucakap Pertahanan Awam Mahmoud Bassal dalam satu kenyataan, lapor Anadolu.
Tentera Israel secara rutin menyasarkan rakyat Palestin yang mendekati, walaupun tanpa menyeberangi, “garisan kuning” di kawasan di mana pergerakan dibenarkan, menurut Anadolu.
Anadolu melaporkan, menurut pejabat media kerajaan Gaza, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 242 rakyat Palestin dan mencederakan 620 yang lain sejak gencatan senjata.
Israel dilaporkan telah membunuh lebih 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 170,000 yang lain dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023.



































