Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh semalaman dari Jumaat hingga Sabtu dalam serangan yang dikaitkan dengan pemberontak Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) di timur Republik Demokratik Congo (DRC), beberapa sumber tempatan dilapor memberitahu Xinhua.
Pemberontak dilapor menyerbu kampung Byambwe di wilayah Lubero, Wilayah Kivu Utara, merompak kawasan itu dan membakar kira-kira 20 rumah.
Mereka kemudian bergerak ke kawasan dekat Mabiango, di mana kerugian manusia dan material tambahan dilaporkan, lapor Xinhua memetik sumber awam dan tentera.
Penyerang juga dilapor menyasarkan sebuah pusat kesihatan di Byambwe, dan beberapa orang masih hilang sehingga Sabtu.
Menurut Xinhua, ADF – kumpulan bersenjata berkaitan Islamic State yang berasal dari Uganda, telah meningkatkan serangan ke atas kampung di wilayah Kivu Utara dan Ituri dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terutama menyasarkan orang awam.
Xinhua melaporkan, menurut Misi Penstabilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di DRC, serangan itu meragut sekurang-kurangnya 52 nyawa di Kivu Utara antara 9 dan 16 Ogos. Pada akhir Julai, kira-kira 40 orang awam terbunuh semasa serangan ke atas gereja Katolik di Ituri.
Operasi ketenteraan bersama Congo dan Uganda terhadap ADF dilaporkan telah dijalankan sejak November 2021, tetapi serangan berterusan.



































