Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh apabila dua bot yang membawa 95 migran terbalik di luar pantai bandar Al Khums di barat Libya, kata Bulan Sabit Merah Libya pada Sabtu, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya, Bulan Sabit Merah berkata, kedua-dua insiden itu berlaku pada malam Khamis.
Ia menambah bahawa bot pertama membawa 26 pendatang warga Bangladesh, empat daripadanya maut selepas bot itu karam. Bot kedua membawa 69 pendatang tanpa izin, termasuk dua warga Mesir dan 67 warga Sudan, antaranya lapan kanak-kanak.
Xinhua melaporkan, Bulan Sabit Merah menyatakan bahawa pasukan kecemasannya, dengan kerjasama pengawal pantai dan pihak berkuasa keselamatan pelabuhan, menjalankan operasi menyelamat, mendapatkan mayat, dan mengendalikan kes mengikut prosedur ditetapkan.



































