Sembilan orang dimasukkan ke hospital selepas mereka cedera apabila sebuah kenderaan merempuh pagar semasa acara perlumbaan di utara Sydney pada Sabtu, menurut laporan Xinhua.
Polis di negeri New South Wales (NSW) dalam satu kenyataan dilapor berkata, kenderaan itu sedang bersaing dalam perlumbaan apabila ia merempuh pagar dan melanggar sebuah grandstand di pekan kecil Walcha, 320 km utara Sydney, kira-kira jam 6:15 petang pada Sabtu.
Penonton menghulurkan bantuan sehingga paramedik ambulans tiba dan membawa tujuh lelaki dan dua wanita, semuanya berumur antara 20 dan 75, ke hospital berdekatan.
Daripada sembilan orang itu, seorang lelaki berusia 54 tahun cedera kritikal dan tiga lagi cedera serius dan dipindahkan ke hospital utama semalaman.
Polis NSW dilapor berkata, pegawai yang hadir di tempat kejadian diberitahu bahawa pemandu kenderaan lelaki berusia 27 tahun terbabit dalam perlanggaran di landasan sejurus sebelum merempuh pagar.
Pegawai pakar dari unit penyiasatan nahas telah dikerahkan ke Walcha untuk memeriksa tempat kejadian.



































