Sebuah kumpulan perubatan Sudan melaporkan 32 kes rogol dalam kalangan gadis yang melarikan diri dari El-Fasher dalam masa seminggu ketika bandar barat itu kekal dikuasai Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, berita Anadolu melaporkan.
Sesetengah gadis telah dirogol di El-Fasher selepas pengambilalihan RSF, manakala yang lain diserang ketika cuba melarikan diri ke pekan Tawila berdekatan, Jaringan Doktor Sudan dilapor berkata dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ia mengutuk rogol itu sebagai “pelanggaran jelas undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan sama dengan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan”.
Jenayah ini “mendedahkan tahap gangguan dan penderaan sistematik dihadapi wanita dan gadis di kawasan dikawal oleh RSF, di tengah-tengah ketiadaan perlindungan dan kekurangan akauntabiliti sepenuhnya,” kata kenyataan itu, menurut Anadolu.
Kumpulan perubatan itu meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada RSF dan menyeru supaya siasatan antarabangsa yang bebas dan segera, perlindungan segera untuk mangsa dan saksi yang terselamat, dan akses tanpa had untuk pasukan perubatan dan kemanusiaan bagi menyediakan penjagaan, rawatan dan sokongan psikologi dan undang-undang.
Konflik di Sudan antara tentera dan RSF, yang bermula pada April 2023, telah membunuh sekurang-kurangnya 40,000 orang dan 12 juta orang kehilangan tempat tinggal, berita Anadolu memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bulan lalu, RSF dilaporkan merampas El-Fasher, ibu kota Darfur Utara, dan dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Kumpulan itu mengawal semua lima negeri Darfur, daripada 18 negeri di Sudan, manakala tentera memegang sebahagian besar daripada 13 negeri yang tinggal, termasuk Khartoum.
Darfur membentuk kira-kira satu perlima daripada wilayah Sudan, tetapi kebanyakan 50 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan yang dikuasai tentera.



































