Berpuluh-puluh jemaah India dikhuatiri maut selepas sebuah bas bertembung dengan lori tangki diesel pada Isnin dekat kota suci Madinah di Arab Saudi, kata pegawai India, lapor agensi berita AP.
Bas yang membawa 46 orang dalam perjalanan dari Makkah ke Madinah apabila kejadian itu berlaku di lebuh raya, Gaurav Uppal, seorang pegawai kanan negeri Telangana, dilapor memberitahu The Associated Press (AP).
“Kira-kira 45 orang dari Telangana dikhuatiri maut dalam kemalangan itu, manakala seorang cedera,” kata Uppal, yang berpangkalan di New Delhi dan terlibat dengan menyelaraskan usaha menyelamat dengan pihak berkuasa India di Saudi.
Saudara-mara mangsa berkumpul di luar pejabat agensi pelancongan Fly Zone, di Hyderabad, mencari maklumat mengenai ahli keluarga mereka.
Pegawai Saudi tidak segera menjawab permintaan untuk komen, menurut AP.
Menurut AP, Perdana Menteri Narendra Modi, Menteri Luar S Jaishankar dan pegawai tertinggi Telangana, Revanth Reddy, mengucapkan takziah kepada keluarga yang berduka.
Dalam catatan di X, Jaishankar dilapor berkata, kedutaan India di Riyadh dan konsulat di Jeddah menawarkan sokongan kepada saudara-mara mangsa.
Mohammed Tehseen dilapor berkata, tujuh ahli keluarganya berada di dalam bas itu, yang semuanya kecuali seorang telah meninggal dunia. Mangsa yang terselamat telah “menelefon selepas kemalangan itu untuk memaklumkan kami tentang tragedi itu,” katanya.
Vishwanath Channappa Sajjanar, ketua polis ibu negeri Telangana, Hyderabad, dilapor berkata laporan awal menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 18 daripada yang mati berasal dari Hyderabad.
Dia dilapor berkata, kebanyakan mangsa adalah daripada dua keluarga, dan penumpang yang cedera dinamakan sebagai Mohammed Shoaib.
“Saya bercakap dengan Konsul Jeneral India dan mendapat butirannya,” Sajjanar dilapor berkata pada sidang akhbar.
“Terdapat 46 orang di dalam bas dan seorang penumpang terselamat dengan kecederaan.”
Sajjanar dilapor berkata, polis sedang berhubung dengan agensi pelancongan yang melaluinya jemaah pergi ke Arab Saudi.



































