Jumlah mangsa banjir membabitkan lima negeri di Malaysia terus meningkat kepada 8,895 orang membabitkan 3,162 keluarga, menurut laporan BH Online.
Menurut portal berita itu, semua mangsa kini ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di semua negeri terbabit setakat jam 8 malam ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilapor berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 7,695 orang daripada 2,810 keluarga dengan 31 PPS dibuka di empat daerah.
Di Kedah dilaporkan 404 mangsa daripada 122 keluarga kini berlindung di tiga PPS, manakala di Terengganu dilaporkan 361 mangsa membabitkan 108 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Di Perlis dilaporkan 307 mangsa daripada 92 keluarga yang ditempatkan di dua PPS dan di Pulau Pinang, dilaporkan negeri terbaru terkesan banjir merekodkan 128 mangsa membabitkan 30 keluarga, dipindahkan di dua PPS.



































