Kerajaan Kemboja berkata pada Isnin, sejumlah 377 sekolah di wilayah sempadan telah ditutup akibat konflik sempadan yang berterusan dengan Thailand, lapor Xinhua.
“Penutupan itu telah menjejaskan 78,585 pelajar dan 3,197 guru,” Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan dilapor sebagai berkata dalam satu catatan di halaman Facebook rasminya.
Wilayah utama yang terjejas ialah Oddar Meanchey, Preah Vihear, dan Banteay Meanchey.
Menurut Xinhua, Menteri Penerangan Kemboja Neth Pheaktra berkata pada Isnin, empat orang awam Kemboja yang tidak bersalah telah terbunuh dalam konflik itu, dengan sembilan yang lain cedera, ketika puluhan ribu orang telah melarikan diri dari rumah mereka dekat sempadan untuk mendapatkan tempat perlindungan yang selamat.
“Tiga orang awam terbunuh di wilayah Oddar Meanchey dan seorang terbunuh di wilayah Preah Vihear,” dia dilapor berkata kepada Xinhua melalui telefon.



































