Jumlah kematian akibat serangan yang dilakukan oleh Pasukan Demokratik Syria (SDF) di utara Aleppo pada Isnin meningkat kepada lima orang, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Anadolu.
Seorang pegawai dari Pejabat Media Direktorat Kesihatan Aleppo memberitahu Alikhbaria TV yang dikendalikan oleh kerajaan bahawa sembilan orang juga cedera dalam serangan yang menyasarkan kawasan perumahan di bandar itu, menurut Anadolu.
Pejuang SDF lewat Isnin menyasarkan pusat pemeriksaan antara bulatan Shayhan dan al-Layramoun, serta Hospital al-Razi, dengan tembakan mesingan dan peluru mortar, lapor Anadolu.
Kementerian Pertahanan Syria dilapor berkata beberapa ahli kumpulan itu telah dineutralkan selepas serangan itu.
SDF dikatakan dikuasai oleh kumpulan pengganas YPG, cabang pengganas PKK Syria, menurut Anadolu.
Pada 10 Mac, presiden Syria mengumumkan pemeteraian perjanjian untuk integrasi SDF ke dalam institusi negara, mengesahkan semula perpaduan wilayah negara dan menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan.
Pihak berkuasa Syria mengatakan bahawa dalam beberapa bulan sejak itu, SDF tidak menunjukkan sebarang usaha untuk memenuhi terma perjanjian itu.
Kerajaan Syria telah memperhebatkan usaha keselamatan sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad Disember lalu, selepas 24 tahun berkuasa.



































