Empat sekeluarga maut awal pagi Rabu apabila kereta mereka dilanggar secara berhadapan oleh sebuah trak pengangkut kereta di lebuh raya persekutuan di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil, menurut berita Xinhua memetik polis.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya BR-040 dekat perbandaran Joao Pinheiro di barat laut Minas Gerais, menurut Polis Lebuhraya Persekutuan.
Polis dilapor berkata, trak itu sedang bergerak di laluan Brasilia-Joao Pinheiro apabila ia melintas ke lorong bertentangan dan berlanggar dengan kereta terbabit.
Kereta itu terbakar sejurus selepas perlanggaran.
Mangsa, pasangan suami isteri dan dua anak mereka, meninggal dunia di tempat kejadian, menurut berita Xinhua, pemandu trak cedera dan menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital di Joao Pinheiro.
Ia merupakan kemalangan maut ketiga yang dilaporkan dalam beberapa hari kebelakangan ini di bahagian lebuh raya yang sama.



































