Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh dan lebih 50 yang lain cedera selepas tiga dron Ukraine menyerang sebuah kafe dan sebuah hotel di Kherson pada malam Rabu, kata pihak berkuasa tempatan, menurut berita Xinhua.
Serangan itu berlaku ketika orang awam berkumpul untuk meraikan Tahun Baru, Vladimir Saldo, ketua wilayah Kherson, dilapor sebagai berkata dalam catatan di Telegram.
“Ramai orang terbakar hidup-hidup,” kata Saldo, sambil menyatakan bahawa salah satu dron membawa campuran pembakar, yang mencetuskan kebakaran besar di tempat kejadian. Anggota bomba hanya dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran itu pada awal pagi Khamis.
Doktor kini sedang berusaha untuk menyelamatkan nyawa mangsa yang cedera, katanya, sambil menambah bahawa pihak berkuasa serantau akan menyediakan semua bantuan diperlukan kepada mangsa dan keluarga mereka yang terkorban.



































