Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, dan seorang lagi cedera selepas bumbung sebuah rumah lumpur runtuh akibat hujan lebat di wilayah Herat, barat Afghanistan, menurut berita Xinhua memetik laporan saluran media tempatan pada Khamis.
Kejadian itu berlaku di wilayah Kabkan di daerah Obe pada Rabu, selepas hujan lebat melemahkan struktur terbabit.
Mangsa termasuk seorang wanita dan empat kanak-kanak, menurut Xinhua memetik Ariana News, memetik seorang pegawai tempatan.
Sepanjang tiga hari lalu, kebanyakan bahagian Afghanistan dilaporkan mengalami hujan lebat dan salji, mencetuskan banjir kilat di beberapa wilayah.
Dalam kejadian berasingan, hujan lebat dan banjir meragut satu nyawa dan mencederakan empat lagi di wilayah jiran, Farah pada malam Isnin.
Di kawasan terpencil Afghanistan, rumah kediaman kebanyakannya dibina daripada lumpur, kaedah pembinaan yang meningkatkan risiko runtuh semasa cuaca buruk, yang membawa kepada korban jiwa teruk dan kerosakan harta benda yang besar.



































