Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terbunuh selepas letupan diikuti dengan kebakaran yang memusnahkan sebuah bar di pekan peranginan ski Crans-Montana, Switzerland pada Malam Tahun Baru.
Menurut Anadolu, polis Switzerland memberitahu Sky News bahawa jumlah kematian telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 10 orang, sambil menambah bahawa kira-kira 10 orang lagi cedera, beberapa daripada mereka parah.
Pihak berkuasa dilapor berkata kejadian itu tidak dianggap berkaitan dengan keganasan.
Letupan itu berlaku sekitar jam 1.30 pagi waktu tempatan (0030GMT) di Le Constellation Bar and Lounge, sebuah tempat dua tingkat yang menempatkan lebih 100 orang pada masa itu, menurut pegawai polis, yang dipetik oleh saluran Swiss, Blick, lapor Anadolu.
Punca letupan itu masih belum ditentukan, tambah saluran itu.
Namun, menurut Anadolu laporan yang tidak disahkan yang tersebar di media sosial menunjukkan kebakaran itu mungkin dicetuskan oleh peranti piroteknik yang digunakan semasa konsert di tempat terbabit. Polis belum mengesahkan dakwaan ini.
Pihak berkuasa dilaporkan telah menyediakan talian bantuan untuk keluarga yang mencari maklumat mengenai orang yang berada di pusat peranginan Valais semalaman.




































