Tiga roket mendarat pada petang Sabtu di kawasan perumahan di ibu negara Syria dan dekat Lapangan Terbang Tentera Mezzeh, menyebabkan letupan kedengaran di seluruh bahagian Damsyik, menurut Anadolu memetik laporan media kerajaan Syria.
Menurut Anadolu, sumber keselamatan memberitahu TV Alikhbariya dikendalikan kerajaan bahawa roket terbabit melanda kawasan kejiranan Mezzeh 86 dan sekitar lapangan terbang Mezzeh pada masa yang sama.
Salah satu roket menyebabkan kerosakan pada Masjid Al-Mohammadi di Mezzeh 86, sumber itu dilapor berkata.
Pasukan keselamatan dalaman telah dikerahkan ke kawasan itu dan telah melancarkan siasatan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab, menurut sumber itu.
Saluran itu sebelumnya melaporkan satu roket mendarat dekat Lapangan Terbang Tentera Mezzeh, menyebabkan letupan kedengaran di seluruh bahagian Damsyik.
Sumber keselamatan memberitahu saluran itu bahawa bunyi letupan di Damsyik adalah akibat daripada roket yang dilepaskan oleh lelaki-lelaki bersenjata yang tidak dikenali yang jatuh di sekitar lapangan terbang.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Letupan itu berlaku ketika pentadbiran baharu Syria cuba mengetatkan keselamatan di seluruh negara susulan penggulingan Bashar al-Assad pada akhir 2024 selepas 24 tahun berkuasa.
Assad melarikan diri ke Rusia, menandakan berakhirnya pemerintahan Parti Baath sejak 1963. Pentadbiran peralihan yang diketuai oleh Presiden Ahmad Al-Sharaa mengambil alih jawatan pada Januari 2025, menurut Anadolu.



































