Angka kematian akibat banjir yang berterusan di seluruh Thailand mencecah 25, kata pihak berkuasa pada Rabu, ketika dianggarkan 444,000 orang di 12 wilayah kekal terjejas oleh aliran air dan limpahan sungai, lapor Xinhua.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, kematian dilaporkan di lima wilayah, dengan 19 kematian direkodkan di Phra Nakhon Si Ayutthaya, utara Bangkok.
Walaupun paras air stabil dan surut di kebanyakan kawasan, jabatan itu berkata bencana itu terus memberi kesan kepada lebih 132,000 isi rumah, dan bekalan bantuan, termasuk kit kelangsungan hidup dan tempat perlindungan sementara, sudah diagihkan kepada masyarakat yang ditenggelami air.
Sementara itu, jabatan meteorologi telah mengeluarkan amaran bahawa hujan lebat sehingga Ahad boleh mengakibatkan banjir kilat dan air larian hutan di wilayah selatan.



































