Jumlah kematian akibat dua taufan kuat yang melanda Filipina baru-baru ini meningkat kepada 259, dengan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa pada Rabu.
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) dilapor berkata pada Rabu, Fung-wong, yang mendarat pada Ahad sebagai taufan super sebelum menjadi semakin lemah ketika melintasi utara-tengah Luzon, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, dengan dua lagi masih hilang.
Ia berkata dalam laporan berasingan bahawa Taufan Kalmaegi, yang mendarat pada 4 November, mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di tengah Filipina, menyebabkan 232 orang terkorban, 112 hilang, dan lebih 500 cedera.
Kebanyakan kematian dilaporkan di wilayah Cebu, yang dikatakan masih terkesan akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud pada 30 September.
Kedua-dua ribut itu menyebabkan berjuta-juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan meluas rumah, ladang dan infrastruktur utama, termasuk jalan raya dan jambatan, menurut agensi itu.
Fung-wong merupakan siklon tropika ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, mengatasi purata tahunan negara itu iaitu 20 ribut.



































