Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh selepas dihanyutkan oleh banjir kilat di Sulawesi Utara Indonesia, lapor Reuters memetik seorang pegawai pada Selasa, ketika pencarian mangsa yang hilang diteruskan.
Hujan lebat awal pagi Isnin telah mencetuskan banjir kilat di pulau Siau, yang terletak di wilayah Siau Tagulandang Biaro, menurut Nuriadin Gumeleng, jurucakap agensi penyelamat tempatan.
Enam belas anggota penyelamat telah dikerahkan untuk mencari empat orang yang masih hilang pada Selasa, menurut Nuriadin dilapor berkata kepada Reuters, sambil menambah bahawa 18 orang cedera setakat ini.
“Kami terus mengumpul data daripada penduduk tempatan sekiranya terdapat lebih ramai orang hilang,” katanya.
Setakat Selasa, jalan utama di kawasan terjejas masih diliputi batu, serpihan dan lumpur tebal, kata Gumeleneg.
Sekurang-kurangnya 444 orang telah dipindahkan ke sekolah dan gereja tempatan selepas banjir kilat, kata jurucakap agensi mitigasi bencana negara, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan, menurut Reuters.
Banjir itu juga memusnahkan ratusan rumah dan bangunan kerajaan, kata gabenor Sulawesi Utara, Yulius Selvanus, menurut Reuters.
Banjir kilat berlaku pada kemuncak musim hujan di pulau Sulawesi, seperti yang diramalkan oleh agensi cuaca Indonesia, menurut Reuters.
Kepulauan Jawa, Sulawesi, Maluku, dan Papua dijangka mengalami musim hujan puncaknya sepanjang Januari dan Februari tahun ini, membawa lebih banyak risiko banjir, menurut Reuters memetik agensi cuaca itu.
Hujan di bahagian lain di Indonesia seperti Sumatra dan Borneo dikatakan mencapai kemuncaknya pada November dan Disember tahun lalu.
November lalu, banjir dan tanah runtuh yang disebabkan oleh taufan telah mengorbankan lebih 1,000 orang di Sumatra, dengan ratusan masih hilang, menurut laporan Reuters.



































