Empat orang maut dan seorang lagi hilang selepas dihanyutkan ke laut oleh ombak kuat di Pulau Tenerife, Sepanyol, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin, lapor Xinhua.
Kejadian itu berlaku sejurus selepas jam 4 petang waktu tempatan pada Ahad di sebuah kolam renang batu semula jadi di kawasan yang dikenali sebagai “Los Gigantes” di pantai selatan pulau itu. Ombak besar melanda kawasan itu, menghanyutkan beberapa orang ke laut.
Tiga orang disahkan maut pada Ahad, kata perkhidmatan kecemasan. Mereka dikenal pasti oleh media tempatan sebagai seorang lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 55 tahun, dan seorang lagi lelaki yang belum disahkan usianya.
Mangsa keempat, seorang wanita yang diselamatkan dan dimasukkan ke hospital, meninggal dunia pada pagi Isnin, kata Emiliano Navarro, datuk bandar Santiago de Teide, kepada penyiar negeri Sepanyol RTVE, menurut Xinhua.
Orang kelima masih hilang sementara operasi mencari sedang dijalankan, kata pihak berkuasa.



































