Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda pantai utara Jepun, lapor US Geological Survey (USGS), mendorong Tokyo mengeluarkan amaran tsunami dan menasihati orang ramai untuk mencari keselamatan, lapor Anadolu.
Gempa bumi itu direkodkan sekitar jam 11.15 malam waktu tempatan (1415GMT) dan diukur pada kedalaman 53.1 kilometer (hampir 33 batu) di luar pantai wilayah utara Aomori, kata USGS.
Anadolu melaporkan, menurut Agensi Meteorologi Jepun, keamatan gempa bumi itu lebih tinggi daripada 6 pada skala pengukuran domestik Jepun iaitu 0 hingga 7.
Agensi itu mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah Aomori, Iwate, dan Pantai Pasifik Tengah Hokkaido, serta nasihat tsunami untuk wilayah Miyagi, Fukushima, dan Pantai Pasifik Barat dan Timur Hokkaido, dan menasihati orang ramai untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat, Anadolu memetik penyiar awam NHK.
Ombak dilaporkan sehingga 70 sentimeter (27.5 inci) dilaporkan dilihat di Iwate, 50 sentimeter (19.6 inci) di Hokkaido, dan 40 sentimeter (15.7 inci) di Aomori.
Hokkaido, Aomori, dan Iwate dijangka menerima tsunami setinggi 3 meter (9.8 kaki).
Seorang cedera selepas sebuah jalan runtuh di Aomori, dan dua orang di Hokkaido cedera jatuh akibat gegaran kuat itu, Anadolu memetik Kyodo News.
Gempa bumi itu juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kira-kira 2,700 buah rumah di Aomori. Dua kebakaran berasingan dilaporkan di kawasan itu, dan sedang disiasat sama ada ia berkaitan dengan gegaran tersebut.
Tiada keabnormalan dikesan di loji nuklear Tomari di Hokkaido selepas gempa bumi itu.
Pihak berkuasa telah menghentikan perkhidmatan tren Tohoku Shinkansen di timur laut Jepun akibat gempa bumi itu.
Kerajaan juga telah menyediakan bilik tindak balas kecemasan di Pejabat Perdana Menteri sebagai tindak balas kepada gempa bumi itu, kata pejabat itu melalui X, menurut Anadolu.



































