Kebakaran di sebuah rumah persaraan Indonesia membunuh 16 penghuni pada Ahad, menurut laporan AP memetik polis.
Kebakaran di rumah setingkat di Manado, Wilayah Sulawesi Utara, Indonesia bermula ketika penghuninya sedang tidur, polis dilapor berkata pada Isnin.
Beberapa orang yang tinggal dekat rumah jagaan itu melihat asap berkepul-kepul sekitar jam 8 malam.
Jiran-jiran dilaporkan membantu menyelamatkan beberapa penghuni.
“Pasukan di lapangan telah mengesahkan bahawa jumlah kematian pada masa ini ialah 16 orang,” kata jurucakap polis Sulawesi Utara, Alamsyah Hasibuan, lapor AP.
“Lima belas daripada mereka mati terbakar, manakala satu mayat mangsa masih utuh.”
Anggota bomba dengan enam trak memerlukan lebih daripada dua jam untuk memadamkan kebakaran selepas penduduk berdekatan melaporkan kebakaran itu kepada perkhidmatan kecemasan, AP memetik pegawai.
Terdapat 15 mangsa yang terselamat yang dirawat di hospital tempatan di Bandar Manado, Alamsyah dilapor berkata.
Mayat mangsa dibawa ke hospital polis di Manado untuk dikenal pasti dengan bantuan keluarga, AP memetik pegawai.
Laporan televisyen pada Ahad menunjukkan api terang yang memancarkan cahaya jingga dan memenuhi udara malam dengan asap. Beg mayat berbaris di luar rumah persaraan itu.
Laporan awal polis mengatakan kerosakan elektrik menyebabkan kebakaran itu tetapi pegawai kemudian berkata puncanya masih dalam siasatan, lapor AP.



































