Lebih 81,000 orang melarikan diri dari bandar El-Fasher dan kampung-kampung berdekatan di negeri Darfur Utara, Sudan sejak 26 Oktober akibat pertempuran dan ketidakamanan berterusan, kata Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pada Rabu, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan, agensi PBB itu dilapor berkata, Matriks Penjejakan Perpindahannya menganggarkan 81,817 orang telah kehilangan tempat tinggal dari El-Fasher dan kawasan sekitarnya, menekankan bahawa angka itu adalah “awal dan tertakluk kepada perubahan disebabkan oleh ketidakamanan yang berterusan dan dinamik perpindahan berkembang cepat”.
Kebanyakan mereka yang kehilangan tempat tinggal kekal di dalam kawasan El-Fasher, manakala bilangan yang lebih kecil telah berpindah ke kawasan Kabkabiya, Mellit, Kutum dan Tawila di Darfur Utara, menurut IOM.
Angka perpindahan yang lebih kecil juga direkodkan di negeri Sudan yang lain, termasuk Kosti di negeri White Nile; Ghbeish di Kordofan Barat; tengah dan utara Jebel Marra di Darfur Tengah; Al-Junaynah Barat dan Kulbus di Darfur Barat; Shaeria di Darfur Timur; dan Jebel Timur dan Al-Wihda di Darfur Selatan, menurut kenyataan itu dilaporkan Anadolu.
Pasukan lapangan melaporkan “ketidakamanan yang melampau di sepanjang jalan raya, menghalang pergerakan,” kata IOM, sambil menambah bahawa situasi “kekal tegang dan tidak menentu dengan ketidakamanan yang berterusan dan pergerakan penduduk yang berterusan”.
Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera menawan El-Fasher, ibu kota negeri Darfur Utara dan sebuah bandar strategik di rantau itu, pada 26 Oktober dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, mencetuskan amaran bahawa pengambilalihan itu boleh mengukuhkan pembahagian geografi negara dilanda perang itu.
Sementara itu, Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) memberi amaran bahawa keperluan keluarga yang melarikan diri dari El-Fasher ke Tawila “berkembang lebih cepat daripada sumber yang ada”.
Dalam satu kenyataan, agensi itu dilapor berkata, bahawa keluarga yang melarikan diri daripada keganasan tiba di Tawila dalam keadaan “keletihan, kelaparan dan memerlukan penjagaan segera,” sambil menambah bahawa ia sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan makanan terapeutik, air dan perkhidmatan kesihatan untuk kanak-kanak.
“Tetapi keperluan semakin meningkat pada kadar yang melebihi sumber yang ada, dan bantuan semasa tidak mencukupi untuk memenuhinya,” kata agensi itu seperti dilapor oleh Anadolu.



































