Letupan kuat di sebuah kilang bunga api di selatan Pakistan pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 11 yang lain, kata pegawai polis dan hospital, lapor agensi berita AP.
Menurut AP, rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal naik dari bangunan runtuh di mana mercun sedang dibuat di bandar Hyderabad di wilayah Sindh.
Ketua polis bandar, Adeel Chandio dilapor berkata, penyelamat membawa mangsa yang maut dan cedera ke hospital.
Dia dilapor berkata, punca letupan tidak diketahui dengan segera.
Kerajaan Sindh dalam satu kenyataan dilapor berkata, siasatan akan menentukan sama ada kilang itu mempunyai kebenaran untuk mengeluarkan bunga api dan mengikut prosedur keselamatan.
Letupan di kemudahan bunga api adalah perkara biasa di Pakistan. Pada Ogos, lima orang dilapor terbunuh apabila letupan merobek tapak penyimpanan bunga api di bandar pelabuhan selatan di Karachi.



































