KUALA LUMPUR – Pengasas program motivasi rumah tangga (eHATI) menafikan dakwaan program anjuran mereka mengandungi unsur menggugat akidah umat Islam atau bertentangan dengan maqasid usul akhlak mulia.
Pengasas eHati International Sdn Bhd yang juga pasangan suami isteri, Diyana Tahir dan Rahim Shukor mendakwa program ditawarkan itu tidak sama sekali mengabaikan atau mengetepikan nilai agama Islam, institusi perkahwinan atau peranan pasangan dan keluarga.
Menyifatkan beberapa muat naik oleh seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Masyitah Ashari mengenai program itu mengandungi dakwaan tidak tepat dan boleh menimbulkan fitnah, pasangan itu mendakwa, setiap program yang dianjurkan adalah mengikut objektif dan misi eHati, iaitu untuk membantu wanita menangani cabaran emosi dan psikologi yang tidak bercanggah dengan agama Islam dan tanggungjawab sosial.
“Program yang ditawarkan eHati berfokus membantu wanita di Malaysia tidak kira bangsa dan agama untuk mendapatkan ketenangan, mencari kebahagiaan, meningkatkan keyakinan diri dan memulihkan trauma yang sudah lama tersimpan melalui pendekatan seperti ‘Neuro-Linguistic Programming’ (NLP), iaitu satu pendekatan untuk memahami cara minda berfikir dan bagaimana ia mempengaruhi tingkah laku seseorang.
“Modul yang disediakan eHati juga merangkumi beberapa aspek dan terbahagi kepada beberapa kategori berlandaskan hipnoterapi, psikoterapi dan NLP, dan dicipta untuk membimbing peserta melalui teknik pengurusan emosi yang berkesan, termasuk kaedah ‘breathwork’ , ‘Trauma Release Exercise’, dan hipnoterapi bagi membantu wanita mencapai ketenangan dalaman dan mental.
“Dengan ketenangan ini, peserta dapat membaiki permasalahan yang sentiasa mengganggu fikiran mereka dan membolehkan mereka melakukan perubahan positif dalam diri secara berkala,” katanya dalam kenyataan , hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan program motivasi dan bimbingan, dikatakan dikendalikan pasangan suami isteri, didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Bekas ahli program itu menerusi Facebook mendedahkan ajaran terbabit dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.
Dia mendakwa, pasangan terbabit mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram.
Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulakan siasatan terhadap program berkenaan susulan aduan yang diterima dan semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan dua saksi akan dipanggil hari ini bagi memberi keterangan kepada mengenai program itu.
Diyana dan Rahim, yang mengaku sebagai pengamal bertauliah dalam bidang hipnoterapi, mendakwa terdapat program eHati yang membantu wanita yang sudah berkahwin dan mungkin sedang menghadapi cabaran dalam hubungan suami isteri, termasuk kekeliruan mengenai tubuh sendiri atau persediaan emosi dan fizikal sebelum dan ketika bersama pasangan, namun modul itu didakwa tidak dibuka kepada umum dan hanya ditawarkan secara tertutup kepada mereka yang benar-benar memerlukan saja.
Berhubung dakwaan mereka mengajar kaedah urutan berunsur falsafah Tantra, pasangan suami isteri itu menafikannya, sebaliknya mendakwa kaedah urutan itu diadaptasi daripada gabungan ‘pelvic floor massage’ dan ‘Thai massage’, dan kaedah itu diolah supaya bersesuaian dengan nilai tempatan dan tidak membabitkan unsur atau ritual agama lain.
“Mengenai minuman Piya, kami ingin jelaskan bahawa ia hanyalah campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi yang dirumus untuk membantu menenangkan fikiran dan tubuh badan.
“Minuman ini langsung tidak mengandungi bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’ seperti yang didakwa.
“Kami juga menafikan tuduhan bahawa kami membawa peserta ke Bali, Indonesia untuk menyebarkan ajaran sesat. Gambar yang tular adalah dari program retreat kami yang menunjukkan peserta sedang melakukan aktiviti ‘breathwork’, di mana perhiasan bunga yang menjadi norma di Bali disediakan oleh pihak hotel dan bukanlah sebahagian dari ritual,” katanya.
Pasangan itu mendakwa, pada November 2022, mereka hadir memberi keterangan kepada JAIS berhubung sebuah program yang dianjurkan eHati dan pihak JAIS mengemukakan beberapa soalan secara langsung berkaitan tujuan program, jenis aktiviti yang dijalankan serta profil peserta yang menyertai program.
“Selepas diberikan penjelasan secara terperinci, pihak JAIS memahami dan menerima penjelasan yang dikemukakan dan seterusnya memaklumkan bahawa program eHati boleh diteruskan.
“Bagaimanapun, pihak JAIS menasihatkan kami untuk menyertakan satu ‘Disclaimer’ kepada peserta,” katanya.
Pasangan itu mendakwa, tiada sebarang siasatan rasmi dijalankan setakat ini terhadap mereka dan kenyataan media yang dikeluarkan hanya berpandukan muat naik yang tidak dapat dikenal pasti pemilik sebenar akaun berkenaan.
Diyana dan Rahim berkata, pihak eHati kini dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, tidak berasas dan/atau berniat jahat terhadap eHati, yang menjejaskan reputasi, kredibiliti dan operasi sah program berkenaan.
Mereka mendakwa, selain menjejaskan reputasi serta kredibiliti, penyebaran muat naik itu turut mencemarkan nama baik keluarga mereka, sehingga memberi tekanan emosi kepada ibu Diyana dan menjejaskan kesihatannya secara serius, dan beliau meninggal dunia pagi semalam.
“Kami sangat terkesan secara emosi dan mengalami tekanan mental yang mendalam akibat penyebaran maklumat tidak berasas ini.
“Serangan terbuka dan tidak bertanggungjawab ini memberikan kesan besar terhadap kehidupan peribadi serta kesejahteraan ahli keluarga kami secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu BH sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada Masyitah.
BH ONLINE