Seorang remaja Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera awal Ahad semasa serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian Askar di timur Nablus, utara Tebing Barat, berita Anadolu memetik laporan agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Ameed Hassan, pengarah ambulans dan perkhidmatan kecemasan di Bulan Sabit Merah Palestin di Nablus, dilapor berkata dua anak muda cedera semasa pertempuran dengan tentera Israel di kem.
Dilaporkan, seorang ditembak di dada dengan peluru hidup dan meninggal dunia akibat kecederaannya, manakala seorang lagi ditembak di belakang dan dipindahkan ke hospital.
Tentera Israel dilaporkan telah menyerbu Nablus dari beberapa arah, mencetuskan konfrontasi di kem Askar, di mana askar melepaskan tembakan langsung ke arah penduduk.
Tentera Israel juga dilaporkan menyerbu Ras al-Ain, Al-Basha, dan kawasan kejiranan Old City dan sekitarnya.
Serangan oleh tentera Israel dan peneroka haram telah meningkat di Tebing Barat yang diduduki sejak perang Gaza pada Oktober 2023, membunuh lebih 1,070 rakyat Palestin dan mencederakan 10,700 yang lain, angka Palestin menunjukkan, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, dalam pendapat penting Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai haram dan menggesa pemindahan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.



































