CYBERJAYA – “Saya dipukul, kepala dihentak ke besi katil dan diugut bunuh oleh seorang pengusaha pelancongan lelaki dari Malaysia dalam kejadian yang turut disaksikan suami di sebuah rumah sewa rakan di Jepun pada 24 Januari lalu. Laporan polis sudah dibuat enam bulan lalu tetapi lelaki itu masih bebas sehingga kini,” dakwa pemandu pelancong sambilan, Noornabilla Azemi.
Noornabilla,36, yang mengalami detik hitam itu berkata, dalam kejadian berkenaan, lelaki itu turut menarik rambutnya dan badannya dipijak dengan kasut but sehingga mengalami kesan lebam dengan kejadian itu turut dirakam rakan suspek menggunakan telefon bimbit.
Katanya, beliau berada di Jepun ketika itu bagi mengendalikan satu kumpulan pelancong Malaysia di Tokyo atas tugasan diberikan sebuah agensi pelancongan tempatan.
“Saya mengenali lelaki itu sejak dua tahun lalu dan beberapa kali pernah ditawarkan tugas sebagai pemandu pelancong dengannya, namun tidak menyangka dia sanggup bertindak ganas akibat tidak berpuas hati kononnya saya memasuki kawasan dimonopolinya di Tokyo.
“Ketika kejadian itu, suami, Mohamad Zhaza Mohamad, 34, bersama seorang rakan dari Malaysia yang menetap di Tokyo, turut dibelasah dan lelaki itu juga merampas wang tunai 75,000 yen (RM2,300) serta mengarahkan kami segera pulang ke Malaysia,” katanya pada sidang media semalam.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengurus Mind Pro Management (MPM), Ena Awil dan aktivis wanita, Mona Din.
Difahamkan, lelaki terbabit dikenali ramai sebagai penulis buku pelancongan ke Jepun dan aktif berkongsi maklumat di media sosial.
Selepas kejadian itu, Noornabilla membuat laporan kepada polis Jepun dan Kedutaan Malaysia di Tokyo serta membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, selain melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik dan Hospital Cyberjaya sekembalinya ke tanah air.
Noornabilla berkata, pada April lalu, beliau datang semula ke Jepun bagi mengikuti perkembangan siasatan dan pihak berkuasa negara itu memaklumkan siasatan masih dibuka serta memerlukan kerjasama pihak Kedutaan Malaysia.
Katanya, beliau mempunyai bukti dan saksi berhubung kejadian itu dan sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Kejadian itu menyebabkan saya trauma dan hanya boleh tidur selepas mengambil ubat tidur sekiranya berdepan rasa takut.
“Saya berharap pihak berkuasa Malaysia dapat membantu membawa lelaki itu pulang dan mendakwa individu terbabit supaya insiden seumpama ini tidak berulang kepada wanita lain,” katanya.
Sementara itu, Ena berkata, pihaknya kesal kerana tiada tindakan susulan terhadap lelaki terbabit walaupun laporan polis dibuat lebih enam bulan lalu.
Beliau berkata, lelaki itu masih bebas, manakala mangsa dibayangi trauma dan kes ini membabitkan isu keselamatan serta maruah wanita yang diperlakukan secara kejam.
Katanya, beliau memahami disebabkan kes berlaku di luar negara, polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat atau mendakwa pelaku terbabit.
“Mangsa membuat laporan kepada polis dan Kedutaan Malaysia di Jepun termasuk datang semula ke Jepun bagi mengikuti perkembangan kes berkenaan, tetapi setakat ini, belum ada sebarang perkembangan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Jepun.
“Sebab itu, kami akan memanjangkan kes ini kepada Wisma Putra dalam masa terdekat supaya tindakan tegas dapat diambil bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.
BH ONLINE