Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 25 yang lain cedera pada Ahad dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah apartmen kediaman di Haret Hreik, pinggir selatan Beirut, Xinhua memetik laporan Kementerian Kesihatan Lubnan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilapor mengesahkan serangan itu, berkata ia cuba membunuh Haytham Ali Tabatabai, yang Netanyahu sifatkan sebagai ketua de facto kakitangan Hizbullah yang “mengetuai pembinaan pasukan dan usaha persenjataan”.
“Israel berazam untuk meneruskan objektifnya di mana-mana dan pada bila-bila masa,” Netanyahu dilapor berkata.
Israel mahupun Hizbullah tidak menyebut sama ada Tabatabai terbunuh dalam serangan itu.
Xinhua melaporkan, menurut saluran TV Al-Jadeed Lubnan, serangan itu juga menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan dan kereta yang diparkir di kawasan kejiranan yang padat penduduknya.
Hizbullah dilapor berkata, kawasan itu tidak mengandungi pusat tentera.
Berikutan serangan itu, pesawat perang Israel terus terbang rendah merentasi wilayah Dahieh di pinggir selatan.
Sebelumnya, Netanyahu dilapor memberitahu mesyuarat kabinet mingguan bahawa Israel “akan terus melakukan apa sahaja yang perlu untuk menghalang Hizbullah daripada mewujudkan semula keupayaannya” untuk mengancam Israel.
Menurut laporan Xinhua, presiden Lubnan Joseph Aoun mengecam serangan itu, menyifatkannya sebagai “satu lagi tanda tidak mengendahkan gesaan berulang kali untuk menghentikan serangan dan melaksanakan resolusi antarabangsa”.
Dia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk menghentikan serangan, mencegah ketegangan serantau, dan mengelakkan pertumpahan darah lebih lanjut.
Dalam perkembangan berasingan, menurut Xinhua, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan melaporkan, serangan dron Israel pada awal hari menyasarkan sebuah kereta di perkampungan Aita al-Shaab di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan mengorbankan seorang.
Sumber keselamatan Lubnan dilapor memberitahu Xinhua bahawa yang maut adalah anggota Hizbullah bernama Mohammad Saleh.



































