Seorang warga Palestin terbunuh dan seorang lagi cedera parah pada Selasa akibat tembakan peneroka Israel di pekan Tuqu’, tenggara Bethlehem di Tebing Barat yang diduduki, kata pegawai Palestin, menurut berita Xinhua.
Televisyen kerajaan Palestin mengatakan seorang lelaki berusia 19 tahun, Muheeb Jibril, ditembak mati di pintu masuk utara pekan itu, lapor Xinhua.
Datuk bandar Tuqu’, Mohammed al-Badan, dilapor berkata tembakan itu berlaku selepas pengebumian seorang budak lelaki yang terbunuh oleh tembakan tentera Israel sehari sebelumnya.
Dia dilapor berkata, seorang peneroka keluar dari kenderaannya dan melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pemuda, membunuh Jibril dan menyebabkan cedera parah seorang lagi warga Palestin.
Insiden itu susulan serbuan tentera Israel ke atas Tuqu’ pada Isnin yang mana seorang remaja Palestin berusia 16 tahun, Ammar Ta’amra, ditembak mati, lapor Xinhua memetik kementerian kesihatan Palestin.
Keganasan telah melonjak di Tebing Barat sejak serangan diketuai Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, menurut Xinhua, kementerian kesihatan Palestin mengatakan lebih 1,080 rakyat Palestin telah terbunuh akibat tembakan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak itu.



































