Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat bahawa ia telah membunuh dua rakyat Palestin yang melontar koktel Molotov ke arah kenderaan Israel di lebuh raya Tebing Barat pada waktu malam, lapor Xinhua.
Xinhua melaporkan, menurut IDF, kejadian itu berlaku dekat kampung Al-Judeira, utara Baitulmaqdis, apabila tentera melihat dan membunuh dua rakyat Palestin terbabit.
Pada Khamis, dua rakyat Palestin lain, seorang remaja dan seorang wanita tua, terbunuh dalam insiden berasingan yang melibatkan tentera Israel di Tebing Barat, Xinhua memetik sumber Palestin.
Kedua-duanya ialah Murad Fawzi Abu Seifen yang berusia 15 tahun, yang terbunuh akibat tembakan tentera Israel di utara Tebing Barat, dan Haniya Hanoun yang berusia 80 tahun, yang terbunuh selepas diserang oleh tentera Israel di dalam rumahnya di pekan Al-Mazra’a Al-Gharbiya, tengah Tebing Barat.
Sementara itu, operasi ketenteraan Israel diteruskan di Gaza. Menteri Pertahanan Israel Israel Katz menyatakan pada Jumaat bahawa dia telah mengarahkan tentera untuk merobohkan semua terowong Hamas di seluruh Jalur Gaza, lapor Xinhua.
“Sehingga terowong terakhir,” Katz dilapor mencatatkan di X. “Jika tiada terowong, tiada Hamas.”
Kenyataan Katz itu dibuat ketika kira-kira 200 pejuang Hamas dilaporkan terperangkap dalam terowong bawah tanah di Rafah, bandar paling selatan Gaza.
Seorang pegawai kerajaan Israel mengesahkan awal minggu ini bahawa Israel telah menolak cadangan daripada pengantara untuk membenarkan militan keluar dari terowong ke kawasan di luar kawalan Israel.



































