Hari ini menandakan hari keenam sejak pasukan tentera Thailand memperbaharui serangan agresif mereka terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Kemboja, tanpa sebarang tanda pengurangan operasi mereka, menurut Leftenan Jeneral Maly Socheata, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, lapor Agence Kampuchea Presse (AKP).
Bercakap pada taklimat akhbar pagi ini, jurucakap wanita itu dilapor berkata, pihak Thailand telah berulang kali melanggar gencatan senjata dan Deklarasi Bersama yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Kerajaan Kemboja dan Kerajaan Thailand pada 26 Oktober 2025, dengan meneruskan pencerobohan bersenjata terhadap Kemboja sehingga pagi ini.
AKP melaporkan, menurut kemas kini beliau, pasukan tentera Thailand telah meneruskan serangan agresif dan sembarangan mereka ke atas Kemboja di pelbagai lokasi di wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey, dan Banteay Meanchey, menggunakan pelbagai jenis senjata.
Maly Socheata menuntut pihak Thailand untuk segera menghentikan semua tindakan agresif; berhenti menyebarkan maklumat palsu yang bertujuan untuk memutarbelitkan kebenaran; menamatkan serangan sembarangan, terutama ke atas komuniti dan infrastruktur awam; dan menghentikan serangan yang merosakkan tapak bersejarah, yang beliau tegaskan bukan sahaja aset budaya Kemboja yang paling berharga, tetapi juga bahagian daripada warisan seluruh umat manusia, lapor AKP.




































